Urus niaga ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Urus niaga ringgit ditutup rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menjelang keputusan Rizab Persekutuan (Fed) mengenai langkah mengurangkan pembelian aset berskala besar secara beransur-ansur lewat hari ini selain kemungkinan kegagalan Evergrande membayar faedah pada Khamis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1910/1950 berbanding dolar AS daripada 4.1835/1850 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mata wang tempatan didagangkan dalam julat kecil berbanding dolar AS sepanjang dagangan Rabu.

"Kami menjangkakan Fed AS meneruskan perancangan untuk memperlahankan program pembelian aset mereka yang pada masa ini bernilai AS$120 bilion sebulan," katanya kepada Bernama.

Ringgit dijangka terus diniagakan dalam jajaran di antara RM4.18 dengan RM4.19 dalam tempoh terdekat.

Pada penutupan, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7140/7195 daripada 5.7272/7293 ketika ditutup pada Selasa dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0996/1028 daripada 3.0971/0984.

Ringgit rendah berbanding yen kepada 3.8270/8311 daripada 3.8181/8198, dan lemah berbanding euro kepada 4.9156/9203 daripada 4.9102/9119.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini