Dagangan ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit ditutup rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana kebimbangan meningkat terhadap kadar inflasi global yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga komoditi yang memberikan sokongan untuk dolar AS, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu merosot kepada 4.1825/1845 berbanding dolar AS daripada 4.1785/1795 semasa ditutup pada Selasa.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kejutan melibatkan bekalan minyak berikutan kekurangan pelaburan di kemudahan pengeluaran akan menjadikan sebab yang lebih kuat untuk mengurangkan penurunan kuantitatif dan kadar faedah yang lebih tinggi di AS tidak lama lagi.

Ia menyebabkan Indeks Dolar AS melepasi 94 mata manakala unit tempatan merosot.

"Berlaku kekurangan pelaburan dalam industri minyak dan gas sepanjang pandemik COVID-19, justeru apabila permintaan melonjak sekarang, ia tidak disertai dengan kemampuan untuk menghasilkannya dan ia akan menimbulkan kejutan kepada sistem yang menyebabkan kenaikan harga minyak," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata senario itu akan memberi lebih banyak alasan kepada Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk meningkatkan kadar faedah yang juga akan meningkatkan dolar AS.

"Laporan gaji bukan pertanian yang akan dikeluarkan Jumaat ini akan dipantau dengan teliti kerana peserta pasaran mahu menjangkakan apakah langkah Fed seterusnya pada mesyuarat akan datang," katanya.

Setakat ini, ringgit akan kekal tidak menentu dalam masa terdekat.

Pada penutup, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan ditutup naik berbanding yen Jepun kepada 3.7501/7522 berbanding 3.7587/7596 ketika ditutup pada Selasa, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0702/0719 berbanding 3.0801/0813 dan melonjak berbanding euro kepada 4.8270/8293 daripada 4.8475/8486 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot kepada 5.6669/6696 berbanding pound Britain daripada 5.6620/6933 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini