Sentimen positif dorong kenaikan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen positif dorong kenaikan ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Rabu, didorong oleh sentimen positif berikutan kadar pemulihan jangkitan COVID-19 yang tinggi serta penyusutan kes harian baharu.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1780/1810 berbanding dolar AS daripada 4.1785/1795 pada akhir urus niaga Selasa.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia mencatatkan sejumlah 15,615 kes sembuh daripada COVID-19, meningkat hampir sekali ganda daripada kes jangkitan baharu sebanyak 8,817 kes.

Menurutnya, daripada kes baharu itu, sebanyak 8,635 kes (97.9 peratus) dalam tahap satu dan dua manakala selebihnya 2.1 peratus atau 182 kes dalam kategori tiga hingga lima.

Sementara itu, seorang penganalisis memberitahu Bernama, peningkatan ringgit itu bagaimanapun dikekang oleh data Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan ISM AS yang naik kepada 61.9 pada September daripada 61.7 pada Ogos.

Sebarang angka yang meningkat daripada jangkaan adalah positif bagi dolar AS berikutan ISM mengukur tahap ekonomi dari sudut perniagaan.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding yen kepada 3.7431/7461 daripada 3.7587/7596 semalam dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0782/0806 daripada 3.0801/0813.

Unit tempatan itu susut berbanding euro kepada 4.8448/8483 daripada 4.8475/8486 sebelum ini dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.6934/6974 daripada 5.6620/6933 pada akhir dagangan Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini