Dagangan ringgit lengang menjelang cuti umum - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit lengang menjelang cuti umum


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dalam persekitaran dagangan yang lengang menjelang cuti umum pada Selasa.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1560/1605 berbanding dolar AS daripada 4.1560/1590 pada Jumaat.

Penganalisis menjangka ringgit akan mengalami pembetulan teknikal pada minggu ini, dagangan dalam julat RM4.15 hingga RM4.16 selepas diniagakan tinggi pada enam sesi dagangan berturut-turut sebelum merosot pada Jumaat lalu.

Katanya, pelabur mungkin mahu mendapatkan keuntungan.

MIDF Research berkata peningkatan mata wang tempatan pada minggu lalu disokong oleh prospek pertumbuhan yang lebih baik berdasarkan pemansuhan larangan perjalanan antara negeri dan sekatan lain yang dikenakan semasa sekatan pergerakan di seluruh negara.

"Mata wang tempatan turut mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak, dengan harga minyak mentah Brent naik tiga peratus pada minggu lepas kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun sebanyak AS$84.86 setong pada Jumaat," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0797/0832 daripada 3.0824/0849 pada Jumaat dan naik berbanding euro kepada 4.8147/8199 daripada 4.8222/8257 sebelum ini.

Namun, unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6399/6438 daripada 3.6341/6368 pada Jumaat dan merosot berbanding pound kepada 5.7108/7169 daripada 5.7049/7091 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini