Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin biarpun unit negara maju itu mengalami pembetulan teknikal selepas mencatat peningkatan ketara sejak beberapa minggu lalu, kata penganalisis.

Pada 6 petang ini, ringgit susut ke paras 4.1690/1700 berbanding dolar AS daripada 4.1560/1590 pada akhir urus niaga Jumaat lalu.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata petunjuk teknikal termasuk Indeks Kekukuhan Relatif (RSI) dan Stochastic menunjukkan ringgit menghampiri kedudukan belian berlebihan yang akan disusuli dengan aktiviti jualan apabila peserta pasaran tukaran asing berhasrat mendapatkan pulangan masing-masing.

Berikutan itu, beliau berkata ringgit sepatutnya lebih mengukuh berikutan faktor seperti kenaikan harga komoditi dan harga minyak mentah Brent yang bergerak dalam jajaran lebih SS$80 setong.

"Ini juga dapat membantu pendapatan kerajaan bagi menyokong pertumbuhan manakala langkah menarik balik sekatan pergerakan pula dapat memacu aktiviti ekonomi dan mendorong prospek ekonomi lebih baik dalam tempoh memasuki 2022," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0875/0884 daripada 3.0824/0849 pada akhir urus niaga Jumaat lalu dan rendah berbanding euro kepada 4.8285/8297 daripada 4.8222/8257, sebelum ini.

Unit tempatan itu juga susut berbanding yen kepada 3.6449/6461 daripada 3.6341/6368 pada Jumaat dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.7245/7258 daripada 5.7049/7091, sebelum ini.

Pasaran akan ditutup pada Selasa bersempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini