Momentum peningkatan ringgit berterusan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Momentum peningkatan ringgit berterusan


KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan ia mengalami pembetulan dan amat sejajar dengan situasi lebihan belian seperti yang dapat dilihat daripada petunjuk teknikal, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.1565/1595 daripada 4.1580/1615 pada Rabu.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata unit tempatan akan kekal membina berikutan harga komoditi minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah mendapat sokongan yang baik.

"Selain itu, pembukaan semula ekonomi akan memacu aktiviti ekonomi berikutan kebenaran untuk rentas negeri," katanya kepada Bernama, sambil menambah pembentangan Bajet 2022 akan membantu menjelaskan mengenai prospek ekonomi Malaysia dan meningkatkan minat terhadap ringgit.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran Kanan Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley, berkata dolar AS sukar pada minggu ini dan sekali lagi merosot semalaman, walaupun hasil bon meningkat selepas lelongan 20 tahun lemah.

"Dengan musim pelaporan pendapatan AS yang mencatatkan prestasi lebih baik dan mengetepikan langkah pengurangan Rizab Persekutuan (Fed) daripada pemikiran pelabur, kemajuan pakej fiskal Biden yang berkurangan dan mata wang berteraskan komoditi yang mencatatkan prestasi lebih baik, dolar AS terus menerima tekanan.

"Pemacu lain dilihat meningkatkan jangkaan kadar dalam kalangan rakan dagang, mengimbangi dorongan daripada perdagangan Fed yang berkurangan," katanya.

Unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada penutup hari ini, kecuali berbanding dolar Singapura apabila ia naik kepada 3.0908/0933 daripada 3.0919/0947 pada Rabu.

Ringgit merosot berbanding yen kepada 3.6441/6471 daripada 3.6327/6361, susut berbanding pound kepada 5.7360/7401 daripada 5.7260/7308 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.8386/8421 daripada 4.8328/8369 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini