Dagangan ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah pada sesi urus niaga pagi Jumaat sementara dolar Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan keuntungan.

Data makroekonomi Amerika Syarikat yang dikeluarkan beberapa hari lalu amat menyokong nilai dolar AS.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut berbanding dolar AS kepada 4.1580/1600 daripada 4.1530/1550 semasa ditutup pada petang urus niaga Rabu.

Peniaga ActivTrade, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata data tuntutan awal pengangguran AS yang dikeluarkan semalam adalah di bawah jangkaan yang pada kebiasaannya amat baik untuk dolar AS.

Tuntutan pengangguran mingguan berjumlah 269,000 minggu lalu, lebih rendah berbanding anggaran awal 275,000.

Data Institut Penyelidikan ADP yang dikeluarkan pada Rabu menunjukkan data pekerjaan bukan ladang lebih tinggi pada 517,000 berbanding jangkaan sebanyak 400,000.

"Kesemua maklumat ini menunjukkan pemulihan ekonomi yang baik di AS. Namun begitu, satu lagi data belum lagi dikeluarkan iaitu laporan senarai gaji bukan ladang yang mengukur penghasilan kerja di AS sepanjang bulan lalu.

"Sekiranya angkanya lebih tinggi daripada jangkaan, ia boleh mengesahkan permulaan aliran menaik untuk dolar AS," katanya.

Di dalam negara, pelabur terus mencerna keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus dalam mesyuarat akhir 2021.

Ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.0779/0797 daripada 3.0781/0798, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6125/6152 daripada 5.6585/6612, dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8033/8056 daripada 4.8142/8165.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0779/0797 daripada 3.6478/6499 pada penutupan hari Rabu.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum sambutan perayaan Deepavali.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini