Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu dengan pasaran tidak menentu ketika menunggu hasil mesyuarat dua hari Rizab Persekutuan AS lewat hari ini, selain dalam proses menerima keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Pada 6 petang, ringgit berada di paras 4.1530/1550 daripada 4.1480/1495 pada akhir urus niaga semalam.

Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley, berkata kebimbangan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) Fed itu ternyata berterusan yang menyaksikan peningkatan semalaman dolar AS walaupun pulangan hasil negara maju itu diunjurkan rendah.

"Kemungkinan Fed bertindak mengurangkan pembelian aset adalah sesuatu yang sudah diterima atau dijangkakan dan dolar AS berkemungkinan susut sekiranya FOMC terus berpegang kepada unjuran peralihan inflasi dan kenaikan pada 2023.

"Malah, sebarang peningkatan bulanan Fed dari segi pengurangan pembelian aset itu sebaliknya boleh memberi kesan ke atas pasaran walaupun pulangan (Perbendaharaan) dan pergerakan dolar AS mencatat kenaikan ketara.

"Oleh itu, keputusan mesyuarat FOMC pada malam ini boleh menjadi pengubah keadaan," katanya.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 3.6478/6499 daripada 3.6543/6556 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6585/6612 daripada 5.6587/6607 sebelum ini.

Namun, unit tempatan itu kekal tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.0781/0798 daripada 3.0781/0796 dan susut berbanding euro kepada 4.8142/8165 daripada 4.8104/8122, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini