Dagangan ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit ditutup lebih tinggi

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, walaupun bergerak dalam julat yang ketat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ini sejajar dengan dolar yang lemah dengan indeks dolar AS jatuh sedikit di bawah 94 mata.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan agak baik berbanding dolar AS pada 4.1505/1513 daripada 4.1530/1555 pada penutup hari Isnin.

Beliau berkata, data utama minggu ini adalah Indeks Harga Pengeluar dan Indeks Harga Pengguna di AS.

"Jika inflasi terus kekal tinggi, ia mungkin boleh meningkatkan lagi kadar faedah di AS tahun depan kerana Rizab Persekutuan (Fed) cenderung untuk menambat jangkaan inflasi. Ini boleh menyokong dolar AS dengan lebih baik dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, pada masa ini paras halangan dan sokongan bagi dolar berbanding mata wang tempatan masing-masing berada pada RM4.1862 dan RM4.1498.

Memandangkan prospek ekonomi yang bertambah baik, ringgit boleh diniagakan menghampiri paras sokongannya.

"Kita bakal mengetahui angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2021 Jumaat ini.

"KDNK suku ketiga 2021 mungkin lebih rendah berbanding pertumbuhan dua angka yang kita lihat pada suku sebelumnya. Justeru, ringgit akan kekal lemah buat masa ini," katanya.

Pada penutup, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.6326/6332 daripada 5.5991/6024 pada penutup semalam dan jatuh berbanding dolar Singapura pada 3.0849/0852 daripada 3.0765/0786.

Ia juga menyusut nilai berbanding euro kepada 4.8112/8133 daripada 4.8000/8029 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6677/6694 daripada 3.6606/6628 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini