Ringgit dibuka lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit dibuka lebih tinggi



KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini susulan petunjuk bercampur-campur daripada pegawai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah data perangkaan permulaan perumahan yang rendah daripada jangkaan.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.1750/1770 daripada dolar AS berbanding 4.1795/1810 pada penutupan semalam.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata data permulaan perumahan menyusut 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 1.52 juta pada Oktober berbanding anggaran konsensus pertumbuhan sebanyak 0.6 peratus.

"Statistik terkini menunjukkan bahawa kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan tenaga kerja telah menjejaskan makroekonomi," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, kenyataan daripada pegawai Persekutuan juga bercampur-campur mengenai proses pengurangan yang akan selesai menjelang pertengahan 2022 manakala Persekutuan akan menilai kesan akomodasi dasar monetari terhadap inflasi.

"Selain itu, indeks dolar AS (DXY) susut kepada 95.783 mata. Dengan demikian, ringgit boleh naik sedikit hari ini berikutan penurunan dalam dolar AS," katanya.

Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit diniagakan dalam lingkungan julat RM4.17 hingga RM4.18.

Sementara itu, unit tempatan didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama kecuali euro dengan ringgit mengukuh kepada 4.7269/7292 daripada 4.7274/7291 semalam.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.6304/6331 daripada 5.6127/6147, lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6555/6576 daripada 3.6394/6410, dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0785/0802 daripada 3.0772/0788 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini