Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini, ia bergerak dalam jajaran yang kecil walaupun beberapa pembetulan dapat dilihat pada Indeks dolar AS, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu menurun kepada 4.1800/1825 berbanding 4.1795/1810 yang direkodkan semalam.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ringgit kelihatan lemah dan berlegar pada paras rintangan, 4.1862.

"Memandangkan kekurangan pemangkin dan di tengah-tengah jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), ringgit dijangka kekal tidak bermaya dalam masa terdekat. Ia akan berlegar dalam lingkungan RM4.17 hingga RM4.18 untuk beberapa waktu berikutan ketidaktentuan luaran," katanya.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS terus mengukuh berbanding ringgit selepas data Permit Bangunan AS berada di tempat yang lebih baik daripada jangkaan iaitu 1.65 juta rumah baharu.

"Ini adalah petunjuk utama, yang boleh menyebabkan peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan pada bulan-bulan akan datang dan mendorong dolar untuk naik lagi.

"Secara amnya, pasaran juga mula meramalkan kemungkinan kenaikan kadar faedah akan berlaku pada 2022, yang boleh mengukuhkan lagi dolar AS pada hari-hari akan datang," katanya.

Daripada sudut teknikal, beliau berkata dolar AS berbanding ringgit baru sahaja memasuki aliran menaik dan boleh mencecah paras 4.1900 pada minggu ini.

"Jika ia naik melebihi 4,1900, ia boleh mencecah 4,2400 dalam masa beberapa hari," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 3.6609/6631 daripada 3.6394/6410 dan susut berbanding euro kepada 4.7364/7392 daripada 4.7274/7291 yang dicatatkan semalam.

Ringgit jatuh berbanding pound Britain kepada 5.6401/6434 daripada 5.6127/6147 dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.0781/0801 daripada 3.0772/0788.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini