Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Jumaat walaupun data pasaran tenaga kerja Amerika Syarikat bertambah baik dengan purata pergerakan Tuntutan Pengangguran Permulaan selama empat minggu merosot kepada 272,750 minggu lepas daripada minggu sebelumnya sebanyak 278,000, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat sedikit kepada 4.1790/1820 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1825 pada penutup semalam.

Selain itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pengilang berdasarkan tinjauan Pembuatan Persekutuan Philadelphia turut meningkat dengan ketara kepada 39.0 mata pada November daripada 23.8 mata pada bulan sebelumnya, jauh lebih tinggi berbanding anggaran konsensus 24.0 mata.

"Mungkin terdapat aktiviti pengambilan untung ke atas dolar AS dan ini boleh menyokong nilai ringgit," katanya kepada Bernama.

Malah, beliau menambah mungkin tidak akan menembusi paras rintangannya pada RM4.1862 dalam tempoh terdekat memandangkan selera risiko yang lebih baik berdasarkan kenaikan harga ekuiti dan sedikit penurunan dalam Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun kepada 1.59 peratus.

"Ringgit akan terus mempamerkan dagangan pada julat ketat antara RM4.1750 dan RM4.1850 hari ini," katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6383/6424 daripada 5.6401/6434 semalam dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.6552/6582 daripada 3.6609/6631.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding euro kepada 4.7494/7528 daripada 4.7364/7392 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0796/0820 daripada 3.0781/0801 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini