Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan pembetulan teknikal susulan beberapa minggu yang hampir kepada aliran meningkat yang berterusan.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot berbanding dolar AS kepada 4.1500/1530 daripada 4.1390/1415 semasa ditutup pada Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penurunan unit tempatan dijangka berdasarkan petunjuk teknikal yang menunjukkan mata wang terbabit berada dalam zon lebihan belian.

"Sehubungan itu, ringgit dijangka positif dalam tempoh terdekat berikutan pembukaan semula ekonomi dan peruntukan yang besar dalam Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lalu," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya pasaran akan memantau mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu ini.

"Pasaran pertukaran asing menjangka Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengumumkan keputusan mengenai langkah pengurangan.

"Kemungkinan pasaran sedang menunggu kenyataan daripada FOMC untuk mengukur penilaian ekonomi oleh Fed mengenai sama ada kenaikan kadar faedah akan benar-benar dilaksanakan pada tahun depan.

"Dalam pada itu, ringgit dijangka kekal rendah," katanya.

Mengenai impak Bajet 2022 terhadap unit tempatan, katanya impaknya adalah neutral dan bajet tersebut memberi lebih banyak impak terhadap ekuiti berikutan ia akan mempengaruhi pendapatan korporat.

"Bagaimanapun, dari aspek makro dan kredit, ia dijangka positif berikutan agensi penarafan akan lebih bersabar berhubung konsolidasi fiskal," katanya.

Pada penutup, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0748/0772 daripada 3.0762/0783 pada Jumaat dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6327/6356 daripada 3.6403/6425.

Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.7999/8034 daripada 4.8232/8261 pada Jumaat dan meningkat berbanding pound kepada 5.6685/6726 daripada 5.7089/7124 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini