Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Selasa selepas Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Pembuatan pada Oktober lebih kukuh daripada jangkaan, dengan tumpuan kepada kadar faedah dan data mengenai inflasi.

Pesanan baharu Malaysia melonjak kepada 52.2 pada Oktober 2021 daripada 48.1 pada September 2021, menurut data IHS Markit terkini.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.1470/1510 berbanding dolar AS daripada 4.1500/1530 pada Isnin.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) akan menunjukkan pemulihan ekonomi akan lebih kukuh dan pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 akan menyokong proses pemulihan.

"Kita akan menyaksikan bagaimana mesyuarat BNM akan membincangkannya pada 3 November. Secara keseluruhannya, ringgit dilihat positif dalam tempoh terdekat," katanya.

Pelabur turut memantau mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan bank pusat lain pada minggu ini mengenai pendirian inflasi mereka.

Pembuatan berasaskan Amerika Syarikat turun sedikit kepada 60.8 mata pada Oktober daripada 61.1 mata sebelum ini, menurut kajian oleh Institut Pengurusan Bekalan.

Mohd Afzanizam berkata bagaimanapun, paras indeks menunjukkan sentimen yang kukuh dalam kalangan pengeluar walaupun isu berhubung kesesakan bekalan telah menjejaskan operasi perniagaan.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0766/0798 daripada 3.0748/0772 pada Isnin dan berbanding yen Jepun kepada 3.6339/6377 daripada 3.6327/6356.

Unit tempatan turut rendah berbanding euro kepada 4.8089/8135 daripada 4.7999/8034, bagaimanapun meningkat berbanding pound kepada 5.6602/6657 daripada 5.6685/6726 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini