Ringgit rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini menjelang pengumuman kadar dasar semalaman (OPR) oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia selain mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan berakhir malam ini.

Pada 9.15 pagi, nilai unit tempatan itu menyusut untuk disebut harga pada 4.1500/1535 berbanding dolar AS daripada 4.1480/1495 semasa mengakhiri urus niaga petang Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peserta pasaran menantikan keputusan mesyuarat MPC tengah hari ini dan ingin tahu mengenai penilaian terkini BNM terhadap keadaan ekonomi.

Sementara itu, mesyuarat FOMC dijangka dimuktamadkan malam ini.

"Setakat ini, data ekonomi di AS masih menggalakkan di tengah-tengah tekanan inflasi yang semakin meningkat. Sekiranya Rizab Persekutuan cenderung untuk menaikkan kadar faedah, ia boleh melonjakkan nilai dolar AS.

"Malah hari ini, ringgit mungkin berada dalam jajaran yang sempit," kata beliau.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0777/0808 daripada 3.0781/0796 semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6439/6469 daripada 3.6543/6556.

Unit tempatan itu juga lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8057/8098 daripada 4.8104/8122 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6527/6575 daripada 5.6587/6607.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini