Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit menyusut berbanding dolar AS ketika dibuka untuk urus niaga pagi Rabu selepas pengumuman data Indeks Harga Pengeluar (IHP) Amerika Syarikat yang lebih tinggi daripada jangkaan semalam mendorong dolar AS melonjak berbanding mata wang utama lain.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.2330/2380 berbanding dolar AS daripada 4.2300/2340 penutupan Selasa.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data IHP AS yang menunjukkan lonjakan 0.8 peratus berbanding unjuran 0.5 peratus mengukur inflasi melalui pelbagai variasi harga bahan mentah yang digunakan oleh para pengeluar.

"Bacaan IHP ini mengesahkan lagi situasi inflasi di AS yang boleh mempengaruhi dasar monetarinya pada 2022," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit akan kekal lemah hari ini memandangkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan diketahui lewat Rabu.

"Walaupun berita mengenai pil Paxlovid Pfizer (antiviral COVID-19) dikatakan mempunyai kadar keberkesanan yang lebih baik, pasaran memberi lebih tumpuan pada keputusan bank pusat utama minggu ini dan memilih dolar AS kerana Rizab Persekutuan dijangka kekal cenderung untuk menaikkan kadar faedah dalam penilaian ekonomi mereka," katanya.

Justeru, beliau mengunjurkan ringgit diniagakan dalam julat sempit hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0907/0946 daripada 3.0912/0946 pada penutupan Selasa, naik berbanding euro kepada 4.7685/7741 daripada 4.7803/7848 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.7213/7260 daripada 3.7239/7278.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.6015/6081 daripada 5.5929/5982 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini