Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai Ringgit dibuka untuk urus niaga tidak berubah berbanding dolar AS pagi ini selepas laporan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) baru-baru ini memberi isyarat akan pendiriannya yang lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan ialah pada 4.2260/2305 berbanding dolar AS daripada 4.2260/2310 ketika ditutup pada urus niaga Rabu.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata laporan itu turut menunjukkan ahli jawatankuasa telah bersedia mempercepatkan proses pengurangan dan mungkin mula menaikkan kadar faedah pada 2022.

"Ini berpotensi untuk melonjakkan dolar AS berbanding mata wang utama yang lain," katanya.

Dari sudut teknikal, beliau berkata, jika kadar pertukaran dolar AS kepada ringgit berjaya menembusi melebihi paras 4.2400, ia boleh meningkat kepada 4.2900 dalam beberapa hari.

"Sebaliknya, penembusan di bawah paras 4.1920 pula boleh membuka ruang untuk penurunan kepada 4.1390," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Fed juga telah menunjukkan bahawa proses pembelian akan dikurangkan lagi sebanyak AS$30 bilion.

"Ini akan menjadikan program pembelian aset dikurangkan daripada AS$90 bilion sebulan kepada AS$60 bilion, bermula Januari tahun depan.

"Berdasarkan kepada kejatuhan dalam indeks dolar AS (DXY) sebanyak 0.24 peratus, ringgit boleh meningkat secara beransur-ansur, mungkin sekitar RM4.21 kerana kebimbangan terhadap varian Omicron telah sedikit berkurangan," katanya.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.6020/6080 daripada 5.6033/6099 pada penutup Rabu, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7021/7061 daripada 3.7152/7199.

Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0930/0968 daripada 3.0890/0931 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7682/7733 daripada 4.7644/7700 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini