Ringgit ditutup kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup kukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Khamis, didorong oleh minat belian yang berterusan.

Pada 6 petang ini, mata wang tempatan berada di paras 4.2060/2090 berbanding dolar AS daripada 4.2260/2310 pada akhir dagangan semalam.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, indeks dolar AS (DXY) susut 0.3 peratus kepada 96.224 ketika pasaran dilihat telah menjangkakan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) pada akhir mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan malam tadi yang jelas cenderung ke arah menaikkan kadar faedah.

Beliau juga percaya pihak Fed berada dalam kedudukan untuk menamatkan dasar monetari yang akomodatif tahun depan dengan menaikkan 75 mata asas dalam Kadar Dana Persekutuan.

"Fed juga telah memutuskan untuk mengurangkan program pembelian asetnya daripada AS$90 bilion kepada AS$60 bilion bermula Januari depan.

"Walaupun ringgit telah mengukuh berbanding dolar AS, persoalannya adalah aspek kemampanan trend itu sebaliknya dalam keadaan pendirian berbeza bank-bank pusat utama," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, keputusan majlis peneraju Bank Pusat Eropah (ECB) akan diumumkan pada hari ini dan pasaran akan menilai sama ada Program Pembelian Kecemasan Pandemik (PEPP) akan dilanjutkan melangkaui tarikh akhir Mac 2022.

"ECB sebaliknya lebih berpendirian untuk menurunkan kadar faedah berdasarkan faktor pertumbuhan dan ada kemungkinan usahanya ke arah normalisasi dasar monetari tidak seiring dengan pendirian rakannya di AS," katanya.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.5902/5942 daripada 5.6033/6099 semalam dan menokok berbanding euro kepada 4.7587/7621 daripada 4.7644/7700.

Unit tempatan itu juga naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0829/0853 daripada 3.0890/0931 dan meningkat berbanding yen kepada 3.6846/6876 daripada 3.7152/7199 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini