Ringgit pulih sedikit berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit pulih sedikit berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat kembali berbanding dolar AS ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini, didorong oleh sedikit permintaan walaupun terdapat kebimbangan yang berlarutan terhadap varian Omicron COVID-19 yang kini telah menular di dalam negara dan seluruh dunia.

Pada 9.01 pagi, nilai mata wang tempatan naik kepada 4.2230/2260 berbanding dolar AS daripada 4.2240/2280 pada penutup Isnin.

Seorang peniaga berkata dolar menjadi lemah selepas senator Democratic West Virgina Joe Manchin mengumumkan bahawa beliau tidak akan menyokong rancangan perbelanjaan sosial hampir AS$2 trilion pentadbiran Joe Biden, dengan memetik bimbang akan inflasi.

Bagaimanapun, peniaga itu menambah perdagangan untuk ringgit dijangka kekal berhati-hati kerana Omicron terus menjejaskan kehendak risiko.

Kes harian baharu COVID-18 di negara ini jatuh di bawah paras 3,000 apabila 2,589 kes baharu dilaporkan semalam tetapi Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan menjangkakan peningkatan kes positif COVID-19 di pusat pemindahan di seluruh negara berikutan keadaan banjir di negara ini.

Malaysia turut melaporkan 11 lagi kes Omicron COVID-19 baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan 13.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7181/7211 daripada 3.7209/7248 pada hari Isnin.

Bagaimanapun, ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0883/0910 daripada 3.0873/0906, lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.5744/5783 daripada 5.5698/5750 sebelumnya dan lemah berbanding euro kepada 4.7619/7652 daripada 4.7550/7595 pada penutupan urus niaga Isnin.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini