Dagangan ringgit dibuka tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka tidak berubah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS hari ini apabila pelabur memilih untuk mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai penilaian ekonomi terkini oleh mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1840/1875 berbanding dolar AS daripada 4.1840/1870 pada penutup Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata minggu ini adalah minggu mesyuarat FOMC yang akan diadakan pada 25 hingga 26 Januari, sekali gus menyaksikan sentimen yang berhat-hati di pasaran.

"Mungkin terdapat kecenderungan untuk menaikkan kadar inflasi memandangkan adanya tanda-tanda pemulihan ekonomi selain tekanan inflasi yang agak berterusan," katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau menjangkakan mata wang domestik itu diniagakan dalam julat kecil antara RM4.18 hingga RM4.19 hari ini.

Secara keseluruhan, mata wang tempatan didagangkan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain kecuali pound Britain, yang meningkat kepada 5.6706/6753 daripada 5.6764/6805 pada penutup Jumaat.

Ringgit dibuka rendah berbanding euro kepada 4.7442/7482 daripada 4.7434/7468, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1101/1132 daripada 3.1096/1121, dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.6753/6787 daripada 3.6715/6741.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini