Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disebabkan penantian pelabur terhadap keputusan daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS akhir minggu ini.

Selera risiko berkurangan dengan jangkaan bahawa FOMC akan mengambil pendirian lebih agresif terhadap pengetatan dasar menjelang mesyuarat Januari ini, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1870/1905 berbanding dolar AS daripada 4.1840/1870 yang dicatatkan pada penutup Jumaat sebelum ini.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa penjualan ekuiti serantau menunjukkan bahawa pasaran berada dalam mod pengurangan risiko berikutan kemungkinan kenaikan kadar faedah di AS.

"Berdasarkan kontrak hadapan kadar faedah, Rizab Persekutuan hampir 100 peratus pasti akan menaikkan penanda aras kadar faedahnya semasa mesyuarat pada Mac depan.

"Berikutan hal itu, Indeks dolar AS (DXY) menokok kepada 95.766 mata daripada 95.642 mata yang direkodkan dalam minggu sebelumnya. Oleh itu, kami menjangkakan aliran ringgit yang lebih lemah akan berterusan pada minggu ini," katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan itu didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.7422/7462 daripada 4.7434/7468 yang dicatatkan pada penutup Jumaat lalu dan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.6629/6677 daripada 5.6764/6805 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1146/1175 daripada 3.1096/1121 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6854/6888 daripada 3.6715/6741.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini