Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga pagi ini lemah berbanding dolar AS berikutan jangkaan pasaran yang Rizab Persekutuan mungkin menaikkan kadar faedah dan ini boleh memberikan sedikit sokongan kepada dolar, kata seorang penganalisis.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1925/1960 berbanding dolar AS daripada 4.1815/1835 pada penutup Isnin.

Ketua ekonomi Bank Islam Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan mendadak hasil nota Perbendaharaan AS 10 tahun kepada 1.88 peratus telah menyemarakkan kembali pandangan bahawa Persekutuan dijangka menaikkan kadar faedah penanda arasnya pada Mac.

"Ini sudah tentu akan memberikan rangsangan kepada dolar AS dan menyebabkan nilai ringgit menjadi lemah," katanya.

Beliau berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) tahun ini mungkin akan memberi sedikit pencerahan mengenai penilaian BNM terhadap ekonomi dan kadar dasar semalaman (OPR).

"Buat masa ini, mata wang tempatan cenderung untuk bergerak lemah," tambahnya.

Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1038/1080 daripada penutup Isnin pada 3.1020/1039 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6541/6579 daripada 3.6523/6544.

Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7005/7053 daripada 5.7207/7234 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7493/7532 daripada 4.7774/7796 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini