Ringgit teruskan aliran penurunan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan aliran penurunan


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila mata wang AS itu meneruskan kenaikannya berbanding mata wang utama lain.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan ditutup pada 4.2130/2150 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1930/1955 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit lemah berbanding dolar AS susulan pengeluaran minit mesyuarat Disember Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS.

"Jangkaan kadar faedah tinggi merangsang permintaan terhadap dolar AS yang membawa kepada nilai tinggi Indeks Dolar AS (DXY) kepada 96.228 mata.

"Buat masa ini, paras ketahanan dolar AS/ringgit berada pada RM4.245 manakala paras sokongan pada RM4.1862," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, data pekerjaan ADP AS yang mengukur perubahan pekerjaan sektor swasta, meningkat kepada 807,000 pada Disember berbanding jangkaan 400,000.

"Ini memberikan bayangan senarai gaji bulan ladang AS pada Disember akan lebih tinggi apabila data itu diumumkan pada Jumaat.

"Oleh itu, kami menjangkakan ringgit kekal lemah berbanding dolar AS esok," katanya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0948/0965 daripada paras penutup 3.0924/0939 pada Rabu dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6390/6415 daripada 3.6190/6215.

Ringgit berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.6867/6903 daripada 5.6785/6814 dan susut berbanding euro kepada 4.7620/7646 daripada 4.7408/7424 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini