Dagangan ringgit ditutup tak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit ditutup tak berubah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, diniagakan dalam keadaan berhati-hati menjelang pengeluaran data ekonomi global dan domestik yang akan menentukan hala tuju pasaran, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu berada pada 4.1825/1840 berbanding dolar AS daripada 4.1825/1850 ketika ditutup pada Rabu.

Hong Leong Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, ia kekal neutral terhadap pergerakan ringgit/dolar hari ini dan minggu akan datang, menjangkakan julat mingguan RM4.17 ke RM4.20 di tengah-tengah sentimen berhati-hati berikutan pasaran memantau Indeks Harga Pengguna (CPI) AS malam ini dan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia suku keempat yang akan dikeluarkan esok.

Dyogenes Rodrigues Diniz dari ActivTrades berkata, sentimen ketidakpastian kekal kukuh terhadap dolar AS berikutan jangkaan pasaran menjelang pengeluaran data CPI AS.

"Bacaan terkini menunjukkan inflasi berada pada 5.5 peratus, tertinggi sejak April 1991, yang sebahagiannya menyebabkan pasaran menghadapi kebimbangan sejak kebelakangan ini.

"Tuntutan pengangguran awal adalah satu lagi elemen makroekonomi yang turut diberi perhatian dalam sesi kemudiannya memandangkan mengekalkan kadar pengangguran yang rendah menjadi satu lagi matlamat Rizab Persekutuan," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun pada 3.6118/6134 daripada 3.6250/6275 ketika ditutup pada Rabu dan naik berbanding pound Britain kepada 5.6761/6781 daripada 5.6765/6799.

Unit tempatan itu jatuh berbanding euro kepada 4.7865/7882 daripada 4.7785/7814 pada Rabu dan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1173/1187 daripada 3.1148/1169 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini