Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga pagi ini berikutan risiko ketegangan geopolitik di Eropah Timur yang semakin membimbangkan, sekali gus menyaksikan penghindaran risiko dalam pasaran kewangan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.1890/1925 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat 4.1885/1910.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan yang dibuat oleh Amerika Syarikat (AS) bahawa Rusia akan menyerang Ukraine tidak lama lagi memuncakkan lagi kebimbangan.

"Ini berlaku ketika latihan ketenteraan Rusia di Belarus bermula minggu lepas," katanya.

Namun begitu, beliau berkata tumpuan juga akan diberikan pada data jualan runcit AS untuk Januari yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, diikuti dengan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Khamis.

"Jualan runcit dijangka berkembang sebanyak 1.6 peratus berdasarkan anggaran konsensus selepas merosot 1.9 peratus pada bulan Disember," katanya.

Justeru, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit akan kekal stabil dalam julat RM4.18 hari ini memandangkan harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi, kini pada US$95 setong, juga boleh memberikan sokongan kepada mata wang tempatan.

Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 4.7595/7635 daripada 4.7686/7715 pada penutup Jumaat dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1113/1143 daripada 3.1148/1169.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6297/6330 daripada 3.6089/6111 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.6811/6859 daripada 5.6783/6817 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini