Harga komoditi pulihkan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga komoditi pulihkan ringgit


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit pulih berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini.

Ia disokong oleh pengukuhan harga komoditi yang berjaya mengelakkan mata wang tempatan daripada terus jatuh walaupun ketegangan geopolitik global yang semakin meruncing masih menjejaskan sentimen pelabur dan membantu dolar AS.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1975/2005 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis pada 4.2030/2080.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peserta pasaran mencari perlindungan daripada sebarang risiko berikutan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine dan ini melonjakkan indeks dolar AS sebanyak 0.88 peratus kepada 97.04.

"Sebagai pengeksport bersih minyak mentah, gas asli cecair dan minyak sawit mentah, ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada trend semasa, yang boleh membantu memberi tenaga kepada sektor utama seperti minyak dan gas, serta perladangan.

"Sedikit sebanyak, ia mampu meningkatkan tabung kerajaan, tetapi manfaat itu boleh diimbangi oleh peningkatan kos subsidi bahan api," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa ketidakpastian utama yang terus menyelubungi pasaran ialah tempoh perang dan impak daripada langkah-langkah tindak balas sekutu Barat.

"Buat masa ini, ringgit dijangka kekal lemah menghampiri paras semasa," tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Nilai ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0992/1018 daripada 3.1062/1104 pada penutupan semalam dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.6175/6215 daripada 5.6455/6522 pada Khamis.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding euro kepada 4.7012/7046 daripada 4.7086/7142 sebelumnya dan naik berbanding yen kepada 3.6345/6374 daripada 3.6624/6671 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini