Konflik Russia-Ukraine jejaskan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Konflik Russia-Ukraine jejaskan ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan kebimbangan terhadap tindakan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine meskipun harga minyak mentah yang kukuh, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2030/2080 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1830/1860 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama konflik di Ukraine terus memburuk dengan tindakan ketenteraan itu.

Sementara itu, harga minyak mentah Brent melepasi paras AS$100 setong memandangkan konflik terbabit kemungkinan besar akan menjejaskan aliran produk berkaitan minyak dan gas.

Beliau berkata, dolar AS/ringgit berada pada RM4.2017 dengan Indeks Dollar naik 0.52 peratus kepada 96.694 mata.

"Sukar untuk dipastikan sama ada konflik itu akan dapat diselesaikan segera. Oleh itu, permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar AS akan berterusan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1062/1104 daripada 3.1114/1141 pada Rabu, naik berbanding pound Britain kepada 5.6455/6522 daripada 5.6885/6925 dan menambah berbanding euro kepada 4.7086/7142 daripada 4.7481/7515.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen kepada 3.6624/6671 daripada 3.6352/6381 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini