Harga minyak tinggi, ringgit terus mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak tinggi, ringgit terus mengukuh


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit kekal kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh harga minyak yang lebih tinggi di tengah-tengah kebimbangan terhadap krisis di Eropah Timur, kata penganalisis.

Pada jam 9.00 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1930/1965 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada 4.1970/2015 semalam.

Minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong, didagangkan pada masa ini 3.12 peratus lebih tinggi pada AS$100.99 setong.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dolar AS terus kekal mata wang yang sangat dicari dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.1 peratus kepada 96.716 mata.

"Ruble Rusia merosot pada hari Isnin manakala bank pusat mereka terpaksa menaikkan faedah penanda aras daripada 9.5 peratus kepada 20 peratus dalam usaha untuk mengekang kejatuhan mata wang berikutan sekatan yang lebih ketat yang dikenakan oleh negara Barat.

"Nampaknya, terdapat beberapa perkembangan positif, menyaksikan kedua-dua negara, Ukraine dan Russia bersetuju untuk rundingan gencatan senjata, walaupun ini mungkin terlalu awal," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit akan kekal dalam margin kecil antara RM4.19 dan RM4.20 setiap dolar AS hari ini kerana perkembangan di Ukraine akan terus menentukan sentimen pasaran.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, mata wang tempatan susut kepada 3.0915/0943 daripada 3.0897/0934 pada penutup Isnin dan turun kepada 5.6241/6288 berbanding pound Britain daripada 5.6139/6199.

Ringgit turut menyusut nilai kepada 3.6379/6412 berbanding yen Jepun daripada 3.6319/6361 dan jatuh berbanding euro kepada 4.6987/7026 daripada 4.6922/6973 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini