Harga komoditi sokong pengukuhan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga komoditi sokong pengukuhan ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula daripada penyusutan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, disokong oleh harga komoditi yang kukuh, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1840/1865 berbanding dolar AS daripada 4.1865/1880 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kenaikan harga minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah (MSM) boleh menyokong ringgit memandangkan ia akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia.

Minyak mentah Brent terus bergerak di atas ASS$92 setong, manakala harga penanda aras MSM Malaysia meningkat kepada RM5,507 satu tan semasa penutupan pada Khamis.

Beliau bagaimanapun berkata, dolar dijangka memperoleh daya tarikan berikutan konflik Russia-Ukraine yang tidak belum dapat diselesaikan.

"Konflik itu dijangka tidak akan dapat diselesaikan dan boleh berlarutan untuk tempoh yang panjang berikutan defisit kepercayaan dalam kalangan kuasa Barat terhadap Russia.

"Selain itu, jangkaan kenaikan 50 mata asas (dalam kadar dasar) semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS pada pertengahan Mac juga boleh memberi isyarat bahawa dolar AS akan kekal sebagai mata wang yang amat dicari sebagai pelindung daripada ketidaktentuan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata justeru, ringgit diunjurkan kekal lemah dan didagangkan dalam lingkungan 4.18 hingga RM4.19 hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6919/6953 daripada 5.6936/6957 ketika ditutup pada Khamis dan naik berbanding euro kepada 4.7526/7554 daripada 4.7559/7576.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen kepada 3.6405/6430 daripada 3.6376/6392 semalam dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1145/1168 daripada 3.1133/1149.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini