Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan risiko geopolitik manakala harga minyak susut 0.15 peratus kepada ASS$92.96 setong.

Walaupun terdapat dagangan turun naik, harga penanda aras minyak mentah Brent stabil selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berikutan konflik antara Russia dan Ukraine yang boleh mengganggu bekalan.

Minyak mentah melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan pencerobohan ke atas Ukraine oleh Russia yang boleh menyebabkan sekatan oleh AS dan Eropah yang akan mengganggu eksport daripada antara pengeluar utama dunia.

Sebagai negara pengeksport minyak, sebarang berita sensitif mengenai kemungkinan gangguan bekalan boleh menjejaskan mata wang, kata peniaga.

"Bagaimanapun, keputusan mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif pada Jumaat telah mengurangkan impak terhadap ringgit," katanya.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1885/1920 berbanding dolar AS daripada 4.1885/1910 pada Jumaat.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia mengumumkan KDNK pada suku keempat 2021, naik sebanyak 3.6 peratus berbanding anggaran konsensus sebanyak 3.1 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama kecuali yen, yang merosot kepada 3.6415/6449 daripada 3.6089/6111 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1074/1105 daripada 3.1148/1169, naik berbanding pound kepada 5.6603/6651 daripada 5.6783/6817 dan menambah kepada 4.7372//7416 daripada 4.7686/7715 berbanding euro.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini