AS pertimbang keluarkan rizab, harga minyak menjunam - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

AS pertimbang keluarkan rizab, harga minyak menjunam


WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden sedang mempertimbangkan untuk melepaskan 180 juta tong minyak selama beberapa bulan akan datang daripada Rizab Petroleum Strategik (SPR), kata tiga sumber Amerika Syarikat (AS), ketika Rumah Putih cuba mengawal harga petrol.

Ia kali ketiga AS menggunakan rizab strategiknya dalam tempoh enam bulan lalu.

Ini juga adalah pelepasan terbesar SPR dalam sejarahnya selama hampir 50 tahun.

Setakat ini, pelepasan rizab yang dibuat tidak dapat menurunkan harga minyak memandangkan permintaan global menghampiri paras prapandemik, manakala bekalan di seluruh dunia adalah sempit.

Niaga hadapan minyak mentah AS susut AS$4.70 kepada AS$103.12 setong dan niaga hadapan Brent turun sebanyak AS$4.45, atau 3.9 peratus, kepada AS$109 setong berikutan berita mengenai kemungkinan pengeluaran itu.

Biden menyampaikan kenyataannya semalam mengenai tindakan pentadbirannya, pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan sekatan ke atas Moscow telah melonjakkan harga minyak.

Russia umumnya adalah salah satu pengeluar minyak terkemuka dunia, menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pasaran global.

Namun, sekatan akan mengurangkan kira-kira tiga juta tong sehari (bpd) minyak Russia dari pasaran mulai April, kata Agensi Tenaga Antarabangsa.

Sumber itu tidak menyatakan berapa lama pengeluaran sejuta bpd daripada rizab strategik yang sedang direncanakan itu akan diteruskan.

Jumaat lalu, sumber AS berkata, pentadbiran Biden sedang mengkaji satu lagi pengeluaran minyak daripada SPR untuk membantu menstabilkan pasaran tenaga global yang jika dilaksanakan, mungkin menjadi lebih besar daripada penjualan 30 juta tong awal bulan ini.

Harga petrol yang tinggi adalah liabiliti politik untuk Biden dan Parti Demokrat kerana mereka berusaha untuk mengekalkan penguasaan Kongres pada pilihan raya November depan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini