Ringgit meningkat berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit meningkat berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum peningkatannya berbanding dolar AS apabila mata wang Amerika Syarikat itu susut di tengah-tengah kebimbangan terhadap data keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) yang mendedahkan bacaan lebih rendah daripada jangkaan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2015/2050 berbanding dolar AS daripada 4.2030/2055 pada penutup hari Rabu.

Menurut laporan berita, pertumbuhan ekonomi tahunan AS pada suku keempat 2021 disemak turun kepada 6.9 peratus daripada jangkaan 7.1 peratus.

Sehubungan itu, indeks dolar AS (DXY) telah merosot sebanyak 0.62 peratus kepada 97.79 mata kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan menaikkan kadar dasarnya sebanyak 25 mata asas, kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Ia adalah kenaikan pertama dalam tempoh lebih daripada tiga tahun, sekali gus menandakan pendirian agresif yang telah menyebabkan pasaran bon bimbang akan kemelesetan yang akan berlaku.

"Namun begitu, ADP Employment Change yang mengukur penghasilan pekerjaan dalam sektor swasta, berada pada 455,000 pada Februari – atas sedikit daripada unjuran sebanyak 450,000, menunjukkan bahawa pasaran buruh kekal kukuh," katanya.

Secara keseluruhan, Mohd Afzanizam berpendapat bahawa ringgit boleh kekal stabil pada sekitar RM4.20 setiap dolar AS hari ini.

Pada pembukaan, nilai ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.4357/4388 daripada 3.4490/4515 pada Rabu dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5216/5262 daripada 5.5248/5281 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1065/1095 daripada 3.1034/1058 pada penutup semalam dan lemah berbanding euro kepada 4.6956/6995 daripada 4.6784/6811 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini