Ringgit ditutup tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tidak berubah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pelabur memilih untuk berada di luar pasaran menjelang kemungkinan peningkatan kadar faedah, demikian menurut penganalisis.

Pada 6 petang Selasa, mata wang tempatan berada pada 4.2050/2085 berbanding dolar AS daripada 4.2050/2075 sewaktu ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS di sebalik beberapa pembetulan dalam indeks dolar AS hari ini.

Menurutnya, hubungan China dengan Russia dalam perang Russia-Ukraine berkemungkinan mewujudkan satu lagi sekatan membabitkan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

"Kita akan menyaksikan bagaimana Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan kadar faedah pada 16 Mac dengan menyedari risiko geopolitik di Ukraine yang melarat.

"Mungkin, sentimen kecenderungan menurunkan kadar faedah akan memberikan kelegaan kepada pasaran," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali berbanding euro apabila merosot kepada 4.6263/6302 daripada 4.6184/621 pada Isnin.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.5642/5674 daripada 3.5666/5690 semalam, naik berbanding pound kepada 5.4833/4879 daripada 5.4846/4878 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0774/0802 daripada 3.0815/0838 sebelum ini. -- Bernama

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini