Angka dagangan sokong pemulihan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Angka dagangan sokong pemulihan ringgit


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit pulih kembali pagi ini selepas mencatatkan penurunan selama lima hari berturut-turut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh angka dagangan menggalakkan bagi Februari yang telah mencetuskan minat risiko terhadap mata wang tempatan, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2290/2320 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.2305/2330.

"Ia (prestasi perdagangan) berjaya mengimbangi dolar AS yang lebih kukuh pada masa ini berikutan jangkaan yang semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin meningkatkan kadar utamanya memandangkan data terkini menunjukkan inflasi adalah lebih tinggi daripada jangkaan.

"Peralihan Malaysia ke fasa endemik berserta perdagangan (data) positif ini membantu meningkatkan sentimen dalam pasaran," katanya kepada Bernama.

Biro Statistik Buruh AS melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) tahunan berada pada 8.5 peratus, lebih tinggi sedikit daripada 8.4 peratus yang diunjurkan oleh pasaran.

Di dalam negara pula, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, jumlah perdagangan Malaysia bagi Februari 2022 meningkat 17.5 peratus tahun ke tahun kepada RM184.8 bilion, dengan eksport mengukuh 16.8 peratus kepada RM102.3 bilion manakala import mengembang 18.4 peratus kepada RM82.5 bilion.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan itu menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.0993/1020 daripada 3.1015/1036 pada hari Selasa, dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3665/3692 daripada 3.3674/3697.

Ringgit turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4952/4991 daripada 5.5026/5059 dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.5741/5773 daripada 4.5998/6025 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini