Malaysia antara pasaran utama mata wang kripto - Luno - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Malaysia antara pasaran utama mata wang kripto - Luno


KUALA LUMPUR: Platform mata wang kripto global, Luno telah memperoleh lebih 10 juta pelanggan merentasi 40 negara, dan Malaysia adalah antara pasaran utamanya.

Ia berikutan 12 peratus daripada pelanggan baharunya sejak enam bulan lalu berpangkalan di negara ini.

Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang, berkata secara purata, rakyat Malaysia mendepositkan RM100 apabila mereka membuka akaun dan cenderung untuk menyimpannya secara purata selama lapan bulan.

"Sebelum ini, 32 peratus daripada pelanggan baharu membeli Bitcoin, manakala 23 peratus membeli Ethereum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan bahawa bilangan pengguna wanita di Malaysia telah berkembang lebih tujuh kali ganda, meningkat daripada 16,000 pada 2020 kepada lebih 120,000 pada 2021.

Dalam tempoh enam bulan lalu, Luno telah memperoleh satu juta pelanggan baharu dan asas pelanggannya telah meningkat sebanyak 35 peratus tahun ke tahun.

Ia berkata setakat 11 Mac 2022, purata masa pegangan untuk pengguna Luno adalah lebih daripada tujuh bulan, dan menambah pengguna di Afrika Selatan iaitu pasaran paling aktif syarikat, mempunyai masa pegangan paling lama pada purata 10 bulan.

Sementara itu, dalam tempoh 12 bulan lalu, pengguna Singapura mempunyai nilai tertinggi deposit pertama pada AS$76 (RM321.46), berbanding Nigeria, antara pasaran terbesar Luno yang merekodkan purata deposit pertama sebanyak AS$10 (RM42.297).

Sejak dilancarkan pada 2013, Luno telah membolehkan lebih AS$52 bilion (RM219.95 bilion) mata wang kripto diurus niaga dengan selamat dan pelanggannya telah menyimpan melebihi AS$1 bilion.

"Luno menyasar untuk membawa kripto kepada lebih satu bilion orang menjelang 2030, dan terdapat permintaan yang luar biasa untuk mata wang kripto di kebanyakan pasaran sedang pesat membangun.

"Pada tahun lalu, Luno mengembangkan asas pelanggannya di Indonesia sebanyak 83 peratus, selain menyediakan kepada satu juta lagi rakyat Afrika Selatan akses untuk mata wang kripto buat kali pertama," tambahnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini