Ringgit teruskan aliran penurunan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit teruskan aliran penurunan


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran penyusutannya apabila dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berikutan sentimen dolar negara maju itu yang positif dan sebaliknya menjejaskan permintaan terhadap unit tempatan, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, mata wang tempatan susut ke paras 4.2375/2410 berbanding dolar AS daripada 4.2290/2320 pada akhir dagangan Isnin.

Seorang peniaga berkata, dolar AS terus mengukuh selepas hasil Perbendaharaan bon 10 tahun melonjak ke paras tertinggi baharu menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna negara itu pada akhir minggu ini.

"Keadaan ini menunjukkan bahawa pasaran telah mengambil kira kenaikan inflasi yang berterusan yang secara tidak langsung mengurangkan selera risiko bagi mata wang lain, termasuk bagi pasaran sedang pesat membangun," katanya kepada Bernama.

Menurut peniaga itu, lanjutan sekatan pergerakan di China juga memberi kesan terhadap sentimen pelabur yang turut meningkatkan kebimbangan bahawa ini boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1024/1054 daripada 3.1004/1031 sebelum ini dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3776/3806 daripada 3.3738/3764.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5147/5192 daripada 5.5201/5240 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6074/6112 daripada 4.6210/6243, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini