Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pagi ini apabila permintaan terhadap mata wang tempatan menyederhana selepas dolar AS terus mengukuh, kata seorang pakar ekonomi.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.2255/2300 berbanding dolar AS daripada 4.2195/2230 pada jam 6 petang pada Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit akan berlegar sekitar paras RM4.22 minggu ini dengan peserta pasaran dijangka memberi lebih perhatian terhadap inflasi AS.

Beliau juga berkata minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Fed pada 15-16 Mac yang menunjukkan penggubal dasar AS terus konsisten dalam pendirian mengetatkan monetari mereka, pastinya akan membantu meningkatkan nilai dolar AS.


"Ringgit dijangka kekal dalam julat yang ketat kerana dolar AS kemungkinan meningkat, didorong oleh data ekonomi yang bertambah baik selain pendirian Rizab Persekutuan yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah" katanya.

Mohd Afzanizam berkata minggu ini diunjurkan sibuk kerana beberapa siri mesyuarat untuk bank pusat seperti Bank of Canada, European Central Bank dan Bank of Korea akan berlangsung dan bank-bank ini akan memutuskan dasar monetari masing-masing.

Selain itu, Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang bakal dikeluarkan dijangka meningkat sebanyak 8.3 peratus berdasarkan anggaran konsensus.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3913/3951 daripada 3.4004/4034 pada hari Jumaat dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5024/5083 daripada 5.5026/5072.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0970/1007 daripada 3.0953/0981 pada hari Jumaat dan lemah berbanding euro kepada 4.6011/6060 daripada 4.5858/5896.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini