Ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit melantun semula untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh kenaikan harga minyak berikutan wujudnya kebimbangan terhadap sekatan baharu ke atas Russia, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.2080/2125 berbanding dolar AS daripada 4.2185/2215 ketika ditutup pada Isnin.

Penganalisis pasaran kanan OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley, berkata pasaran minyak meningkat semalaman, apabila permintaan meningkat di Eropah untuk sekatan yang lebih meluas dari zon Eropah terhadap Russia selepas terdapat bukti kekejaman terhadap orang awam di utara Ukraine.

Katanya, kebimbangan turut meningkat apabila Eropah akhirnya akan menyasarkan sektor tenaga Russia, sekali gus mengurangkan bekalan.

"Saya percaya peluang Eropah untuk menyekat tenaga Rusia sangat kecil, apabila tiada alternatif segera dan kesannya akan mengheret Jerman kepada kemelesetan.

"Bagaimanapun, dengan peluang yang sekecil itu Eropah mungkin dapat melakukan sesuatu yang cukup untuk menyebabkan harga minyak meningkat semula di Asia," katanya kepada Bernama.

Ketika ini, penanda aras harga minyak Brent naik 0.58 peratus kepada AS$108.2 setong.

Sementara itu, ketika penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Unit tempatan itu menokok berbanding pound Britain kepada 5.5297/5356 daripada 5.5330/5369 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding euro kepada 4.6191/6241 daripada 4.6441/6474.

Ia turut naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1048/1086 daripada 3.1082/1109 pada Isnin dan melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.4256/4295 daripada 3.4414/4442.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini