Nilai ringgit susut pada awal dagangan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit susut pada awal dagangan


KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik global menyaksikan nilai ringgit menyusut daripada keuntungan yang diraih semalam untuk dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi Rabu ini, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.2150/2185 berbanding dolar AS daripada 4.2080/2125 pada penutupan Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata perang di Ukraine kekal sebagai pemacu utama dalam pasaran pada masa ini.

Dilaporkan bahawa imej satelit memaparkan mayat bergelimpangan di jalan selepas tentera Russia berundur dari Bucha, sebuah bandar berhampiran ibu negara Ukraine, Kyiv.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula mengulas dolar AS terus meningkat lebih tinggi kerana penghindaran risiko berterusan apabila sekutu Barat dijangka meningkatkan sekatan mereka terhadap Russia.

"Ini susulan daripada penemuan ngeri di Bucha di mana tindakan kejam dan jenayah berada pada tahap paling teruk," katanya kepada Bernama.

Selain itu, pendirian monetari Rizab Persekutuan (Fed) yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah akan meningkatkan nilai dolar AS.

"Dengan yang demikian, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.49 peratus kepada 99.486 mata manakala ringgit boleh kekal lemah antara RM4.21 dan RM4.22," kata Mohd Afzanizam.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.5069/5115 daripada 5.5297/5356 pada penutup Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.5922/5961 daripada 4.6191/6241.

Nilai ringgit juga tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0979/1007 daripada 3.1048/1086 pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.4039/4070 daripada 3.4256/4295.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini