Dagangan ringgit dibuka agak tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka agak tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan mata wang yuan China berikutan perkembangan positif di Shanghai, kata seorang penganalisis.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.3840/3890 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.3880/3915.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata yuan bertambah kukuh di tengah-tengah sentimen pengambilan risiko selepas Shanghai berhasrat untuk membuka semula perniagaan dalam tempoh dua minggu akan datang dan ini telah melonjakkan ringgit serta proksi pertukaran asing serantau China yang lain.

Shanghai telah mencapai status sifar COVID di seluruh daerahnya dan bandar itu dijangka dibuka secara beransur-ansur, menyasarkan untuk meneruskan kehidupan normal menjelang 1 Jun.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peningkatan sedikit ringgit itu turut disokong oleh perkembangan dalam sektor teknologi China.

"Pihak berkuasa China nampaknya lebih longgar terhadap sektor teknologi selepas lebih setahun industri berhadapan tekanan.

"Ini boleh memberi sedikit harapan bahawa industri, di samping kelonggaran lanjut akan langkah COVID-19, di Shanghai.

"Secara ringkasnya, pasaran kelihatan tenang dan terbuka, sekali gus membuka jalan kepada beberapa peluang membeli dalam aset berisiko seperti ekuiti," katanya.

Namun begitu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1651/1690 daripada penutup Selasa 3.1643/1671 dan lemah berbanding euro kepada 4.6273/6326 daripada 4.5969/6005.

Nilai ringgit turut jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4743/4805 daripada 5.4653/4696 semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3911/3952 daripada 3.3939/3969.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini