KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga hari ini dengan prestasi lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipengaruhi oleh pengukuhan mata wang negara maju itu berikutan peningkatan keyakinan pengguna serta kebimbangan berterusan terhadap isu tarif global.
Pada jam 8.05 pagi, ringgit susut kepada paras 4.2350/2500 berbanding dolar AS daripada 4.2345/2430 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.59 peratus kepada 99.521 mata malam tadi, mencerminkan pemulihan sederhana meskipun masih berada di bawah paras psikologi 100 mata.
"Peningkatan ini sejajar dengan bacaan terkini Indeks Keyakinan Pengguna oleh Lembaga Persidangan AS yang naik kepada 98 mata, disokong prestasi kukuh pasaran saham sejak awal April dan penurunan harga petrol," katanya kepada *Bernama*.
Pada penutupan semalam, ringgit mencatatkan penyusutan sebanyak 0.47 peratus kepada RM4.2388 berbanding dolar AS daripada RM4.2190 sebelumnya, apabila peniaga mengambil untung susulan kenaikan ringgit baru-baru ini.
"Walaupun data keyakinan pengguna menunjukkan pemulihan, ekonomi AS masih berdepan risiko penurunan berikutan tekanan inflasi yang disumbangkan dasar tarif.
"Dalam senario pengukuhan dolar AS dan ketidaktentuan luaran yang berpanjangan, ringgit dijangka terus diasak tekanan serta diniagakan dalam julat kecil antara 4.22 hingga 4.23 hari ini," ujarnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding beberapa mata wang utama dunia.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9391/9500 daripada 2.9425/9486, naik berbanding euro kepada 4.8012/8182 daripada 4.8053/8150 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7228/7430 daripada 5.7352/7467.
Namun, prestasinya bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN lain.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2870/2989 daripada 3.2894/2963 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.62/7.65. Ia juga mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 259.9/261.0 daripada 259.9/260.6.
Sebaliknya, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.9471/13.0025 daripada 12.9365/9676.