KUALA LUMPUR: Harga minyak yang mahal ketika ini dijangka kekal berterusan berikutan stok minyak global yang rendah bagi tempoh beberapa tahun ini akan berpanjangan, demikian mengikut Hong Leong Investment Bank Research.
Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya, inventori minyak global menurun 17 peratus kepada 2.65 bilion tong pada Februari 2022 daripada paras tinggi 3.2 bilion tong pada Julai 2020.
Katanya, keadaan itu memberikan tekanan menaik selanjutnya ke atas harga minyak global pada masa hadapan.
"Di sebalik ikrar OPEC+ untuk meningkatkan output minyaknya, iaitu tambahan 400,000 tong sehari pada setiap bulan, ketika perjumpaan April lalu, namun pengeluaran sebenar adalah tidak menepati jangkaan.
"Ia antara lain disebabkan oleh kemuflisan pengeluar syal AS, kawal selia dalam harga karbon dan peraturan lain yang dipacu oleh iklim, kurang pelaburan dalam mengembangkan kapasiti minyak, dan mandat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menyahkarbon," katanya.
Menurut bank pelaburan itu, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat juga menjadi punca kepada masalah itu.
Katanya, sebelum perang Russia-Ukraine, harga minyak mentah sudah berada pada trend menaik kerana permintaan disokong oleh pembukaan semula pasca COVID-19.
"Secara keseluruhan, perang Russia-Ukraine yang berlarutan dan rancangan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan import minyak Russia sebagai tindak balas kepada pencerobohan Ukraine akan meningkatkan lagi harga minyak.
"Ini kerana EU bergantung kepada Russia dalam membekalkan minyak kepada mereka yang mewakili 26 peratus. Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), pengeluaran hampir 3 juta tong sehari oleh Russia mungkin tidak dapat dijual kerana sekatan antarabangsa.
"Dalam hal ini, kami ambil perhatian bahawa jurang bekalan minyak semakin melebar dan tidak mungkin dapat dipenuhi oleh negara pihak ketiga, memandangkan Russia membekalkan kira-kira 10 peratus daripada minyak dunia bersama-sama beberapa pengeluar minyak dunia yang menghampiri kapasiti had gantian mereka," katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan Bloomberg, China telah memberi isyarat bahawa penutupan Shanghai akan berakhir tidak lama lagi yang mana menurut sumber, mungkin pada akhir Mei.
"Sebaik sahaja kerajaan mula menarik balik sekatan mobiliti yang telah mengganggu kehidupan berjuta-juta orang di bandar paling ramai penduduk di negara itu dan mengganggu segala-galanya daripada perjalanan ke pengeluaran perindustrian, import minyak sepatutnya meningkat menjelang musim panas yang biasanya permintaan adalah tinggi dan seterusnya meningkatkan harga komoditi itu di tengah-tengah bekalan pasaran yang ketat," katanya.