Ringgit lemah: Kos sara hidup rakyat meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit lemah: Kos sara hidup rakyat meningkat


KUALA LUMPUR: Penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berpotensi melonjakkan harga terutamanya barangan pengguna dan mentah yang diimport, sekali gus meningkatkan kos sara hidup rakyat , kata penganalisis.

Pada awal dagangan Isnin, ringgit berada pada 4.3745/3780 berbanding dolar AS daripada 4.3650/3680 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Ahli Ekonomi, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata penurunan ringgit akan menjadikan kos sara hidup tinggi, yang berpunca dari kos import yang tinggi.

Beliau berkata, penggunaan isi rumah terutamanya bahan makanan utama adalah sangat bergantung kuat kepada import.

Ini katanya akan menyebabkan kos sara hidup akan menjadi semakin tertekan selepas berhadapan dengan pendapatan nominal isi rumah yang rendah.

"Ia akan menjadi lebih tertekan kerana trend inflasi yang telah dijangka akan berlaku. Inflasi import kerana kemerosotan ringgit akan menambah tekanan ke atas inflasi.

"Sukar diramal akan sampai bila kemerosotan ringgit ini akan berlaku. Ini kerana bukan ringgit sahaja, matawang Asia lain juga berdepan situasi yang sama.

"Ia adalah kerana tindakan unilateral yang diambil oleh AS dan negara barat lain untuk mengukuhkan ekonomi mereka," katanya kepada BH.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata secara umumnya, kemungkinan harga barang untuk naik adalah tinggi sekiranya ringgit kekal melemah.

Beliau berkata, ia akan dapat dirasainya terutamanya pada barangan yang diimport.

"Cuma sama ada peniaga akan menaikkan harga mereka atau tidak, bergantung kepada keupayaan mereka untuk melakukan sedemikian.

"Tindakan menaikkan harga secara melulu juga boleh menjejaskan penguasaan pasaran mereka kerana pelanggan mungkin beralih arah kepada peniaga yang lebih kompetitif," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, dalam situasi kejatuhan ringgit ini, pengguna perlu merancang pembelian barangan import serta keinginan untuk melancong.

Beliau berkata, ini kerana dua perkara ini dijangka akan mengalami kenaikan kos.

Justeru itu katanya perlu ada perancangan yang rapi supaya wang yang dibelanjakan menepati belanjawan dan tidak menjejaskan tahap kewangan individu dan isi rumah.

Katanya, trend penurunan ringgit ini juga sukar diramal kerana ia bergantung kepada sentimen pasaran terutamanya jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah di AS, dasar COVID-19 di China serta kemelut antara Russia dan Ukraine.

"Ketiga-tiga faktor ini adalah faktor penentu pasaran kerana ia dilihat sebagai pemangkin kepada permintaan mata wang selamat atau 'safe haven currencies' seperti dolar AS.

"Namun orang ramai tidak perlu gusar kerana kemungkinanan untuk ringgit kembali kukuh itu memang ada.

"Ini adalah kerana harga komoditi seperti minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan minyak kelapa sawit mentah bakal memanfaatkan ekonomi negara," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, selain itu, nilai ringgit yg kompetitif juga bakal menggalakkan sektor eksport dan kegiatan pelancongan.

Beliau berkata, ia akan menyebabkan lonjakan semula nilai ringgit pada masa akan datang walaupun sentimen pasaran sentiasa berubah dalam kadar yang cepat.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pula berkata kejatuhan ringgit akan memberi kesan pelbagai kepada ekonomi negara dan rakyat.

Beliau berkata, ringgit yang jatuh akan menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap eksport barangan Malaysia kerana ianya lebih murah dan ini boleh membantu hasil negara.

Namun katanya, disebabkan Malaysia juga banyak bergantung kepada barangan luar negara yang diimport, kos import akan menjadi lebih mahal.

"Ini akan menyebabkan barangan import yang dijual di pasaran tempatan menjadi lebih mahal.

"Ia pasti akan menyebabkan kos barangan serta kadar inflasi meningkat dan membebankan lagi rakyat.

"Oleh itu rakyat harus bijak dalam berbelanja dengan membeli barangan tempatan," katanya.

Ahmed Razman berkata, kenaikan ringgit bergantung kepada banyak faktor dalaman dan luaran dan oleh itu semasa ringgit melemah ketika ini, keutamaan harus diberi dalam menjana pengeluaran barangan tempatan dan meningkatkan lagi jualan eksport.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini