AS umum kadar faedah meningkat, ringgit mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

AS umum kadar faedah meningkat, ringgit mengukuh


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus meningkat untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini berikutan keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai berbanding dolar kepada 4.3970/3995 daripada penutupan Rabu pada 4.4120/4150.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Fed menaikkan kadar faedah kepada antara 1.50 peratus dan 1.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) malam tadi.

"Kini terdapat lebih kejelasan akan keputusan Fed yang menunjukkan mereka mahu fokus kepada memerangi inflasi.

"Berdasarkan unjuran terbaharu mereka, Kadar Dana Fed dijangka mencapai 3.50 peratus menjelang akhir tahun dan ini bermakna 175 mata asas lagi akan diumumkan pada baki tahun 2022," katanya kepada Bernama.

Pada 2023, Kadar Dana Fed boleh mencapai antara 3.75 peratus dan 4.00 peratus, manakala pada 2024 ia mungkin turun kepada 3.25 peratus hingga 3.50 peratus, katanya.

Mohd Afzanizam berkata, kadar kenaikan kadar faedah akan perlahan pada masa hadapan dan mereka mungkin mahu menghentikannya buat seketika pada 2023.

Justeru, ia menambah ini sepatutnya melegakan pasaran bahawa Fed komited untuk membawa pendirian dasar monetari mereka ke dalam zon sekatan yang boleh membawa kepada penyederhanaan dalam kadar inflasi.

Susulan daripada keputusan Fed, beliau berkata aset berisiko seperti pasaran ekuiti menyokong keputusan itu dengan barometer utama S&P 500 melantun semula sebanyak 1.46 peratus untuk ditutup pada 3,789.99 mata manakala sekuriti Perbendaharaan AS dua tahun dan 10 tahun, masing-masing meningkat sebanyak 24 dan 19 mata asas untuk ditutup pada 3.19 peratus dan 3.28 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu meningkat nilainya berbanding dolar Singapura kepada 3.1697/1720 daripada penutup Rabu 3.1732/1758, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2750/2773 daripada 3.2815/2840 dan menambah nilai berbanding euro kepada 4.5962/5988 daripada 4.6277/6309 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia turun berbanding pound Britain kepada 5.3542/3573 daripada 5.3323/3360 pada penutup Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini