Dagangan ringgit ditutup hampir tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit ditutup hampir tidak berubah

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila minat belian pelabur beralih kepada aset selamat seperti dolar AS berikutan jangkaan prospek ekonomi dalam tempoh terdekat ini agak mencabar, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.3930/3960 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3935/3960 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata risiko stagflasi menjadi bualan ramai ketika ini kerana inflasi dijangka meningkat di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang tidak stabil.

"Oleh itu, permintaan terhadap aset selamat terutamanya dolar AS dijangka meningkat. Ini memandangkan hakikat bahawa pelabur tukaran asing mahu mendapat perlindungan daripada risiko pertumbuhan perlahan," katanya kepada Bernama.

Pada Selasa, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global sebanyak 1.2 mata peratusan kepada 2.9 peratus bagi 2022, dan memberi amaran pencerobohan Russia di Ukraine telah memburukkan lagi impak daripada pandemik COVID-19, dengan banyak negara dijangka berdepan dengan kemelesetan.

Bank Dunia juga memberi amaran akan peningkatan risiko stagflasi.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1928/1952 daripada paras penutup 3.1936/1957 pada Selasa tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.5027/5064 daripada 5.4963/4994.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2837/2862 daripada 3.3109/3130 tetapi susut berbanding euro kepada 4.7027/7059 daripada 4.6892/6919.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini