Ringgit kekal rendah berbanding dolar AS, RM4.419 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kekal rendah berbanding dolar AS, RM4.419

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS hari ini apabila pelabur memilih sikap tunggu dan lihat mengenai penilaian ekonomi terkini oleh mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada tahap 4.4190/4225 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.4190/4220.

Ahli-ahli FOMC AS akan membincangkan keputusan mereka pada mesyuarat dua hari, mulai Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kemungkinan menyaksikan kenaikan 75 mata asas dalam Kadar Dana Persekutuan (Fed) pada sesi mesyuarat FOMC semasa yang akan diumumkan malam ini.

Bagaimanapun, nilai dolar AS meningkat berikutan kenaikan Indeks Dolar AS (DXY) kepada 105.518 mata, jelasnya.

"Berikutan ini, gandingan USD/MYR dijangka kekal lemah susulan pengukuhan dolar AS. Paras rintangan semasa ialah pada RM4.45. Justeru, dolar-ringgit mungkin kekal di sekitar paras sedemikian dalam jangka masa terdekat," katanya.

Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS dijangka meneruskan pergerakan menaik selepas data Indeks Harga Pengeluar (PPI) menunjukkan peningkatan 0.8 peratus bulan lepas dan kenaikan tahunan sebanyak 10.8 peratus.

"Memandangkan inflasi AS berada pada tahap tertinggi dalam tempoh 40 tahun, pasaran menjangkakan Fed akan menaikkan kadar faedah daripada 1.0 peratus kepada 1.5 peratus tetapi beberapa penganalisis sudah pun bercakap mengenai kenaikan 1.75 peratus pada mesyuarat akan datang.

"Sekiranya kadar naik sejajar dengan jangkaan iaitu pada 1.5 peratus, USD/MYR berkemungkinan akan jatuh kerana pasaran sudah mengambil kira faktor ini," tambahnya.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3103/3145 daripada penutup Selasa 5.3496/3533, menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1732/1759 daripada 3.1771/1797, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2716/2747 daripada 3.2921/2948 dan agak tinggi berbanding euro pada 4.6103/6140 daripada 4.6108/6139.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini