Ringgit kembali rendah berbanding dolar AS, RM4.388 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali rendah berbanding dolar AS, RM4.388

 



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS bagi hari ketiga berturut-turut hari ini berikutan penurunan harga minyak dan pengukuhan dolar AS, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.3880/3910 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3805/3850 pada Rabu.

Penganalisis kanan pasaran OANDA Asia Pacific Jeffrey Halley berkata harga minyak jatuh di pasaran Asia hari ini susulan laporan Arab Saudi akan meningkatkan pengeluaran minyaknya sekiranya pengeluaran Rusia susut dengan ketara.

"Semalaman, harga minyak menyusut selepas berita yang dikeluarkan membayang Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mungkin mengecualikan Rusia daripada kuota pengeluarannya," katanya kepada Bernama.


Setakat hari ini, harga minyak mentah Brent turun 2.27 peratus kepada AS$113.7 setong.


Halley berkata data kukuh ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan terus menaikkan kadarnya merupakan faktor-faktor yang menyokong kenaikan dolar AS.


"Mata wang Asia menyusut semalaman apabila data ekonomi AS yang dikeluarkan mencerminkan laluan kenaikan kadar Fed," katanya.

Sementara itu ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1901/1928 daripada paras penutup 3.1928/1965 pada Rabu dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.3803/3829 daripada 3.3865/3903.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.5034/5072 berbanding 5.5159/5216 dan menokok berbanding euro kepada 4.6895/6927 daripada 4.6985/7034 sebelumnya.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini