Ringgit dibuka rendah, RM4.43 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah, RM4.43 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit susut daripada peningkatannya pada minggu lalu apabila dibuka rendah pada Selasa berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akibat kekurangan minat belian.

Pada 9.30 pagi ini, mata wang tempatan itu di paras 4.4335/4345 daripada 4.4250/4270 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Pasaran ditutup pada Isnin sebagai cuti ganti bagi cuti umum Aidiladha.

Sentimen pasaran dijangka kekal tidak menentu di tengah-tengah prospek pertumbuhan global yang susut berikutan peningkatan ketara kadar faedah oleh bank-bank pusat yang lebih awal daripada dijangkakan.

Malah, menurut Kenanga Research yang juga cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank, mata wang yang terdedah kepada keadaan kitaran termasuk ringgit akan terus diniagakan dalam persekitaran tidak menentu dan susut berbanding dolar AS.

"Sehubungan itu, ringgit berkemungkinan bergerak dalam jajaran 4.42-4.44 berbanding dolar AS dengan Indeks dolar AS (DXY) dijangka kekal tinggi sekitar paras 107.0 sekiranya Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Jun adalah lebih tinggi daripada yang dijangkakan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas dan angka jualan runcit tempatan yang kukuh, ringgit sebaliknya menyusut kepada paras menghampiri 4.43 untuk pertama kali sejak Mac 2020 berikutan pengukuhan berterusan dolar AS.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2612/2624 daripada 5.2888/2912 pada Jumaat dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1495/1506 daripada 3.1528/1547, sebelum ini.

Unit tempatan itu juga meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2302/2312 daripada 3.2577/2595 pada minggu lepas dan naik berbanding euro kepada 4.4397/4407 daripada 4.4777/4797.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini