Ringgit kukuh sedikit berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kukuh sedikit berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat pagi ini berbanding dolar AS selepas penurunan empat hari berturut-turut, dirangsang oleh prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4225/4260 berbanding dolar AS daripada 4.4270/4285 pada penutupan pada Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks dolar AS (DXY) – yang terus mengukuh kepada 107.13 mata semalam berikutan kenyataan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah, 'berehat seketika' dan mencatatkan 107.0 mata pada sesi Jumaat (untuk Asia).

Menurut laporan berita, pegawai Fed Christopher Waller dan James Bullard bersetuju bahawa kenaikan 75 mata asas pasti akan berlaku pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang dan ini telah membantu menyokong dolar AS.

Bagaimanapun, Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) AS yang akan dikeluarkan lewat malam ini dijangka menunjukkan beberapa tanda kelembapan, susut kepada 268,000 pada bulan Jun daripada 390,000 pada bulan Mei (berdasarkan anggaran konsensus).

"Namun begitu, dolar AS mungkin terus berkisar sekitar RM4.42 berbanding ringgit kerana permintaan untuk dolar AS akan kekal tinggi," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali euro.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.3265/3307 daripada penutupan Khamis iaitu 5.3115/3133, lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1621/1650 daripada 3.1601/1616 sebelumnya dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2557/2587 daripada 3.2537/2551 semalam.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.5048/5083 daripada 4.5186/5197 pada Khamis.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini