Dagangan ringgit dibuka agak tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka agak tinggi

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini selepas nilai mata wang negara maju menjadi lemah berikutan peningkatan ketegangan antara AS dan China.

Pada 9.04 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.4535/4555 berbanding dolar AS daripada penutupan hari Rabu pada paras 4.4550/4565.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan telah meningkatkan ketegangan AS-Sino dan ini telah mencetuskan kemerosotan ke atas dolar AS.

"Nilai dolar diniagakan lebih tinggi pada awal sesi dagangan tetapi ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara mencetuskan kemerosotan dolar AS," katanya kepada Bernama.

Beliau juga menyatakan pelabur tetap bimbang terutama menjelang pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS pada keesokan hari.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3325/3342 daripada penutupan Rabu pada paras 3.3459/3472, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4137/4161 daripada 5.4244/4262 dan kukuh berbanding euro kepada 4.5261/5281 daripada 4.5396/5412 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2274/2293 daripada 3.2262/2277 pada hari Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini